Beg Tangan Pintar

Sunday, 23. March 2008

Fenomena tertinggal barangan penting apabila keluar rumah adalah perkara biasa, terutama apabila kita terkejar-kejar menghambat masa. Keadaan ini seolah-olah lumrah, terutama bagi golongan yang berkerjaya.

Namun begitu, ia akhirnya menyulitkan keadaan, tugas yang mudah menjadi sukar, cepat menjadi lambat, dan tenang menjadi kelam-kabut. Bayangkan apabila sampai di kereta, kunci pula tertinggal, atau dah sampai di pejabat, kunci pejabat pula tertinggal.

Malah sering kali urusan kerja di pejabat terganggu kerana telefon bimbit tertinggal di rumah. Haruskah kita berpatah balik berpuluh kilometer bagi mendapatkan semula barangan yang tertinggal di rumah?

Hasil penyelidikan dalam bidang- bidang tekstil, teknologi maklumat dan komunikasi, elektronik, dan seni fesyen telah memberi ilham kepada satu kaedah penyelesaian permasalahan ini. Sejenis beg dengan ciri-ciri istimewa telah dihasilkan oleh sekumpulan pelajar di Simon Fraser University, Kanada.

Ginny Mesina selaku ketua projek berkata: “Kami mencipta beg tersebut memandangkan semua wanita memerlukan peralatan seperti itu.”

Projek tersebut menggabungkan enam pelajar dari jurusan seni interaktif dan teknologi maklumat di universiti tersebut. Untuk mereka bentuk beg tersebut, kumpulan penyelidik telah membenamkan alatan pembaca pengenal frekuensi radio di bahagian bawah beg.

Alatan pembaca ini mendapat kuasa dari bateri 9 voltan.

Beg Pelengkap Gaya Wanita

Sunday, 23. March 2008

Tidak sempurna kehadiran anda ke suatu majlis tanpa beg atau tas tangan sebagai pelengkap gaya. Sama ada disandang di bahu atau dibimbit, beg antara aksesori penting kepada wanita yang inginkan penampilan berbeza.

Walaupun anda kelihatan bergaya ke majlis rasmi dengan pakaian yang mempesona, ia kelihatan ganjil tanpa beg tangan.

Pentingnya penampilan dilengkapi beg menawan adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan oleh wanita. Kecantikan beg bukan saja terletak pada bentuk atau ukiran beg dengan buatannya yang sungguh menawan malah cara menggayakannya di tempat yang sesuai.

Jika dipadankan dengan pakaian yang kena gayanya, ia menjadikan anda cantik dipandang. Selain boleh disandang di bahu, ada beg yang boleh disesuaikan dengan majlis tertentu seperti ke parti atau mengikut tema tertentu. Contohnya, ada yang dilengkapi aksesori tertentu seperti kerongsang berbentuk bunga dan rantai serta boleh digayakan mengikut kehendak masing-masing.

Suai padan dengan baju supaya tampil sedondon, membuatkan anda kelihatan anggun bergaya, funky mahupun rock.

Tidak rugi membeli beg kerana ia didatangkan dalam pelbagai pilihan yang membuatkan anda teruja. Warnanya, kemasan dan buatannya yang menarik menjadikan ia berbaloi untuk anda yang suka bergaya sama ada ke pejabat, santai atau menghadiri majlis.

Technorati Tags: , , , , ,

Aksesori Selain Emas

Sunday, 23. March 2008

Kata orang emas dengan wanita umpama cincin dengan permata, begitu akrab, berganding bersama, tidak lengkap jika tidak dipadankan.

Senario hari ini menyaksikan aksesori wanita tidak terhad kepada pemakaian emas dan batu permata saja yang mana kini banyak hiasan diri ditampilkan menggunakan perak, tembaga, kayu, getah, plastik, manik serta labuci.

Warna batu, labuci dan manik yang menampilkan warna segar dan terang berkilauan menjadi pilihan tidak kira wanita muda atau sudah berusia.

Perunding aksesori butik Cantic Collection, Teng berkata permintaan terhadap aksesori wanita bukan emas meningkat bukan saja kerana harga emas yang meningkat tetapi faktor ia lebih selamat digunakan dan tidak berisiko disamun perompak.

Katanya, aksesori bukan emas juga mudah digayakan mengikut trend terkini dan kerana harganya murah, wanita membelinya dalam jumlah yang banyak.

“Jika emas biasanya, orang ramai lebih suka membelinya sebagai koleksi peribadi, eksklusif serta sebagai pelaburan dan harta pusaka kerana nilainya lebih mahal,” katanya.

Namun, beliau menegaskan pemakaian aksesori bukan emas perlu disesuaikan dengan gaya dan trend terkini jika tidak ia dilihat ketinggalan zaman.

“Suai padan dan cara pemakaian yang betul akan menampilkan gaya yang menarik serta memikat setiap mata yang memandang. Kebanyakan wanita suka membeli aksesori tetapi kurang bijak menggayakannya, yang saya anggap satu pembaziran.

Salam Semua!

Thursday, 20. March 2008

Salam perkenalan kepada semua pembaca yang budiman.